Akademi Profesor Malaysia (APM) memaklumkan bahawa APM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi secara bebas dan ia adalah pertubuhan yang berbeza dan tidak mempunyai kaitan dengan Majlis Profesor Negara (MPN). APM telah ditubuhkan pada tahun 2019 dan berdaftar dibawah Akta Pertubuhan 1961.
APM merupakan satu wadah pemikir yang menyatu kepakaran dan menggembleng pemikiran strategik para profesor bagi membangun masyarakat dan negara. APM bersifat akademik, inklusif (merangkumi profesor dari universiti awam dan swasta serta daripada pelbagai bidang ilmu), bebas tanpa campur tangan politik, berintegriti tinggi, berwibawa, dan profesional. Dengan demikian, APM berperanan sebagai semak dan imbang yang efektif terhadap formulasi dan pelaksanaan dasar kerajaan dan negara.
Kegiatan APM disokong oleh yuran keahlian ahli. Di samping itu, APM kini giat mengambil inisiatif menambah perolehan dana melalui permohonan pelepasan cukai untuk penyumbang kepada APM, menjalankan kursus, seminar, kerja perundingan serta aktiviti penyelidikan dasar.
Kami amat menghargai sekiranya pihak media dan masyarakat umum tidak mengaitkan APM dengan sebarang isu yang melibatkan MPN, termasuk berhubung laporan terbaru Ketua Audit Negara yang merujuk kepada MPN.
Sekian, terima kasih.
MAJLIS
AKADEMI PROFESOR MALAYSIA
4 JULAI 2024
