Kejadian banjir pada 18 Disember yang lepas telah mengejutkan negara. Bencana banjir yang berlaku tersebut adalah yang terburuk pernah melanda negeri Selangor dan Pahang serta menjangkaui kawasan yang luas. Kawasan di barat negeri Selangor merupakan kawasan yang telah teruk terjejas sehingga melibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda bernilai jutaan ringgit.
Segala usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap dan membantu mereka untuk kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa. Selain itu, anggota-anggota dari agensi penyelamat, agensi kerajaan, serta sukarelawan dari badan bukan kerajaan kini juga sedang giat dan sibuk membantu mangsa banjir membersihkan kawasan kediaman yang ditenggelami banjir. Pada masa yang sama, mereka turut membantu menjaga keselamatan dan mendapatkan keperluan harian kepada mangsa banjir.
Ketika berlakunya banjir, adalah penting untuk berkongsi dan mengingatkan kepada semua mengenai kesan dan peningkatan kepada penularan penyakit berjangkit akibat banjir. Pada musim banjir, antara jenis penyakit berjangkit yang telah dikenalpasti mudah untuk menjangkiti adalah penyakit kencing tikus (leptospirosis), kepialu, kolera, hepatitis A, melioidosis dan penyakit bawaan air yang lain. Selain itu, penyakit bawaan vektor seperti denggi akan juga meningkat.
Di sini, kami ingin menekankan tentang bahaya penyakit leptospirosis terutamanya kepada mangsa banjir dan juga sukarelawan serta anggota agensi penyelamat. Penularan wabak leptospirosis yang besar di Malaysia pernah dilaporkan berlaku pada tahun 2014 di negeri Kelantan ekoran daripada kejadian banjir besar pada ketika itu. Sekiranya tiada langkah pencegahan diambil semasa pasca banjir, kami menjangkakan bahawa kes jangkitan leptospirosis ini akan turut meningkat pada kejadian banjir kali ini.
Semua pihak yang terlibat dengan bencana ini perlu diberi peringatan supaya dapat mengambil tindakan pencegahan dengan lebih awal daripada dijangkiti leptospirosis. Penyakit ini telah diketahui umum boleh membawa maut jika rawatan segera tidak diberikan.
Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang berpunca dari kuman bakteria leptospira yang boleh didapati pada air kencing tikus terutamanya. Ia boleh juga dijumpai pada air kencing haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing serta haiwan lain seperti lembu dan haiwan liar. Lazimnya bakteria ini akan dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan juga kawasan air bertakung seperti sungai, kolam dan lopak air. Ketika berlakunya banjir, bakteria ini akan lebih mudah menjangkiti manusia dan memasuki badan manusia melalui kawasan luka pada kulit, makanan dan minuman yang dicemari serta melalui organ seperti mata.
Kesan atau gejala yang akan timbul akibat leptospirosis ini lazimnya boleh dikenalpasti selepas lima hari sehingga dua minggu dijangkiti. Kebiasaannya, pesakit akan mengadu demam panas, sakit kepala, loya dan muntah, sakit otot, mata merah dan cirit-birit. Jika dibiarkan berterusan, penyakit ini akan berlarutan dan pesakit boleh mendapat komplikasi seperti keradangan selaput otak (meningitis), pendarahan paru-paru, kegagalan hati dan kerosakan buah pinggang. Penyakit ini boleh dirawat jika pesakit mendapatkan bantuan perubatan yang segera. Kematian boleh berlaku akibat kegagalan mendapatkan rawatan segera terutama kepada golongan yang berisiko tinggi seperti pengidap penyakit kronik dan orang tua.
Langkah pencegahan yang utama perlu diambil adalah dengan mengelakkan dari terdedah dengan air banjir. Sekiranya perkara ini tidak dapat dielakkan, pastikan kawasan luka dibalut serta kalis air dan pada masa yang sama, anggota badan seperti mulut dan mata dielakkan dari terdedah kepada air banjir. Pastikan amalan membasuh anggota badan yang terdedah kepada air banjir menggunakan air bersih dilakukan dengan segera. Jangan dibiarkan anak-anak bermain dengan air banjir manakala sukarelawan dan anggota penyelamat disarankan untuk sentiasa memakai kasut but getah kalis air.
Adalah sangat penting untuk mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya berasa kurang sihat dan mengalami tanda-tanda yang dinyatakan di atas. Sentiasa menjaga kebersihan diri dan juga memastikan pembuangan sampah (terutama sampah makanan) yang teratur supaya tidak menarik perhatian tikus.
Kepada pihak anggota kesihatan juga disarankan untuk lebih peka dengan gejala penyakit ini supaya ianya dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal serta dapat mengelakkan komplikasi yang boleh membunuh.
Profesor Dr. Zamberi Sekawi
Pengerusi Bersama Kluster Perubatan dan Kesihatan
