1) Bagaimana Prof. melihat situasi politik pada masa ini dan pada masa lalu. Adakah apa yang berlaku pada hari ini jauh lebih teruk dan kompleks?
Situasi politik sejak Mac 2020 setelah kejatuhan kerajaan PH dan penubuhan Kerajaan PN sehingga sekarang tetap tidak menentu, lebih-lebih lagi sekarang dengan perisytiharan Darurat serta penggantungan demokrasi berparlimen. Pada hemat saya, keadaan sekarang jauh lebih teruk dalam tempoh 20 tahun ini sejak memasuki abad ke-21. Ini kerana kita berdepan dengan krisis tiga serangkai: (1) krisis kesihatan awam yang dicetuskan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa penduduk menyebabkan sistem kesihatan negara dalam keadaan sangat tertekan; (2) krisis ekonomi yang buruk dengan kadar pertumbuhan negatif; pelaburan asing beralih arah; kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang menjejaskan kehidupan keluarga dengan teruk; serta meningkatnya masalah kesihatan mental; dan (3) krisis politik yang tidak berkesudahan, mencabar legitimasi kepimpinan dalam pemerintahan PN, yang menjurus ke arah krisis governan negara.
Krisis tiga serangkai ini kita tidak pernah kita alami. Krisis terdekat sebelum ini berlaku lebih dua dekad yang lalu, iaitu krisis kewangan 1997/98 yang merebak menjadi krisis ekonomi, serta krisis kepimpinan politik tetapi kedua-duanya menjadi stabil tidak lama kemudian. Masa itu tidak ada Darurat kesihatan dan Darurat politik dalam ertikata penggantungan Parlimen.
2) Pada ketika ini negara berhadapan dengan tiga masalah paling besar iaitu Covid-19, banjir dan situasi politik yang tidak berkesudahan. Pada pandangan Prof., apakah langkah untuk mengisytiharkan darurat merupakan langkah terbaik?
Banjir ini musibah bermusim berlaku hampir setiap tahun dan boleh dikendalikan dengan baik kerana ada mekanisme dan jentera yang cukup berpengalaman dan berkesan di peringkat pusat dan negeri di bawah Majlis Keselamatan Negara khususnya NADMA. Bezanya kali ini pengurusan bencana banjir dilakukan dalam keadaan wabak Covid-19, justeru risiko jangkitannya lebih besar, maka kepatuhan kepada SOP sangat penting.
Darurat boleh meredakan buat sementara percaturan dan krisis politik tetapi ia bukan ubatnya. Ia tidak seperti vaksin untuk covid. Parlimen harus pulih dan dikembalikan fungsinya kerana itulah sistem negara kita – demokrasi berparlimen. Malaysia dikenali di dunia sebagai negara yang berjaya membawa perubahan politik secara damai melalui pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, sedangkan di beberapa negara lain, perubahan belaku melalui kekerasan. Bahkan di Amerika juga berlaku keganasan pada 6 Januari kerana Presiden Trump yang berkuasa berdolak-dalik tidak mahu undur walaupun dia sudah kalah dalam pilihan raya. Sekarang di Washington sudah diisytiharkan Darurat – kerana berlakunya kekerasan dan ancaman keganasan menjelang upacara mengangkat sumpah Presiden yang baharu pada 20 Januari.
Di negara kita tidak ada sebarang kekerasan atau keganasan seperti di Washington. Pada hemat saya, krisis politik ini berterusan kerana ia tidak diselesaikan melalui saluran yang betul iaitu Parlimen walaupun kesempatan itu ada sebelum ini. Saya rasa kita harus hormati kewibawaan institusi Parlimen. Manakala ahli-ahli Parlimen harus bertanggungjawab dan berintegriti kerana anda diberi mandat dan amanah oleh rakyat.
Apa yang sangat diperlukan oleh negara kita sekarang ialah negarawan dalam kalangan pemimpin – tunjukkan keupayaan memimpin sebagai negarawan yang boleh dihormati dan dipercayai. Defisit kepercayaan kepada orang politik pada masa ini sangat tinggi. Atasi defisit kepercayaan itu dengan bertindak selaku negarawan yang benar-benar meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian dan puak. Saya harap para pemimpin dan ahli politik yang berkuasa menjiwai hakikat bahawa kuasa itu amanah yang harus ditunaikan sebaik mungkin sesuai dengan sumpah jawatan, dan sangat penting dijiwai bahawa kuasa itu sementara – ia datang dan pergi selaras dengan prinsip demokrasi.
3) Apakah kesan yang dijangka berlaku sepanjang pelaksanaan darurat sehingga bulan Ogos ini dan apakah kemungkinan ia akan disambung untuk satu tempoh tertentu lagi?
Sukar untuk diramalkan sama ada ia akan disambung atau tidak. Negara kita ada Perlembagaan, dan Darurat itu diisytiharkan oleh DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong berasaskan peruntukan Perlembagaan.
Kesan Darurat yang berpanjangan akan menjejaskan reputasi negara dan iklim pelaburan, membantut pemulihan ekonomi, lebih-lebih lagi sekarang sistem semak-dan-imbang ke atas kuasa pihak Eksekutif sudah tiada.
4) Pada pandangan Prof., apakah isu-isu yang mungkin menyebabkan kemungkinan darurat akan mengambil tempoh lebih lama?
Dalam Proklamasi Darurat sudah ditetapkan ia akan berakhir pada 1 Ogos 2021, ataupun lebih awal. Saya harap ia ditamatkan lebih awal dan Parlimen dipulihkan. Juga pandemik Covid-19 dapat dikawal melalui pelaksanaan PKP dan kerjasama rakyat, manakala program vaksinasi dapat dilakukan apabila Vaksin diperolehi pada akhir Februari.
Krisis politik walaupun belum selesai tidak menjadi alasan untuk penerusan Darurat. Selesaikanlah di Parlimen secara berhemah.
5) Adakah pelaksanaan darurat ini memberikan kelebihan kepada Perikatan Nasional atau menyebabkan kredibiliti kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyidin Yassin ini tergugat?
Pengunaan Kuasa Darurat ada pro dan kontranya kepada Kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin. Ia memberikannya kestabilan buat sementara. Berdasarkan bilangan yang ada di pihak PN dan di pihak Pembangkang, majoriti tipis Kerajaan PN semakin tipis; spekulasi mengatakan mungkin Kerajaan PN sudah kehilangan majoriti dengan penarikan sokongan dua orang Ahli Parlimen UMNO. Justeru ini boleh menggugat lebih lanjut kerajaan PN, walaupun ia boleh terus memerintah kerana kuasa Darurat. Kuasa Darurat itu ibarat circuit breaker dalam percaturan politik yang tidak berkesudahan.
6) Kerajaan menyatakan bahawa keperluan untuk melaksanakan darurat adalah untuk mengatasi masalah Covid-19 tetapi ada yang mengatakan ia merupakan langkah politik bagi menyelamatkan kerajaan PN. Bagaimana Prof. melihat perkara ini?
Saya sudah jawab soalan ini dalam beberapa bahagian di atas. Darurat itu ibarat circuit breaker yang meredakan ketegangan politik dan memberi masa untuk Kerajaan PN.
Tentang Covid-19, ia harus ditangani dengan “whole of government approach” dan “whole of society approach” – ertinya seluruh jentera kerajaan bergerak serempak dan bersepadu, dan seluruh tenaga dalam masyarakat digemblengkan. Tenaga-tenaga pakar seperti pakar perubatan, kesihatan awam, kesihatan mental dan kaunseling, dan pakar-pakar lain mesti dilibatkan. Tentu anda tahu Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri oleh 40 orang lebih pakar terkemuka khasnya mereka di bidang perubatan. Buah fikiran dan tenaga mereka patut dimanfaatkan. Jangan hanya libatkan mereka yang ‘mesra’ dengan pemerintah sahaja. Tentang NGO, memang ada yang terlibat, tetapi ada baiknya satu mekanisme nasional untuk melibatkan NGO secara meluas juga patut diwujudkan. Ini krisis nasional yang harus ditangani merentasi kepentingan politik dan ideologi atau kaum dan agama.
7) Pada pandangan Prof. apakah langkah terbaik untuk menyelesaikan konflik politik yang berlaku dalam negara pada ketika ini. Adakah pilihan raya perlu dilaksanakan dengan segera atau pembentukan sebuah kerajaan perpaduan ataupun Perikatan Nasional terus mentadbir negara dibawah proklamasi darurat sehingga tamat penggal PRU-14?
Pada hemat saya, langkah pertama cara penyelesaian krisis politik kita sekarang ini terletak di Parlimen, iaitu dengan memulihkan sistem demokrasi berparlimen dan selesaikannya melalui undi percaya di Parlimen. Sekiranya Kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri sekarang memperoleh undi percaya, maka ia memperoleh wibawa undang-undang dan moral dan harus dihormati oleh semua pihak untuk terus mengemudikan pimpinan negara. Sekiranya ia gagal, maka harus ikut proses Perlembagaan dan ambil tindakan secara terhormat serahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan Kerajaan yang baharu. Terakhirnya ialah serahkan semula mandat itu untuk ditentukan oleh rakyat melalui pilihan raya umum ke-15.
Akan tetapi, saya rasa PRU 15 tidak harus dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan situasi negara belum tersedia dan pandemik belum terkendali. Saya tidak yakin ahli politik yang bertanding dan para pengikut mereka akan dapat mematuhi SOP; begitu juga dalam kalangan pengundi. Mengadakan PRU dalam keadaan mereka tidak dapat mematuhi SOP dengan baik akan amat membebankan pihak KKM dan barisan hadapan yang lain untuk mengawalnya. Jangan jadi seperti kata pepatah, tiada beban batu digalas.
Saya tidak fikir Darurat akan berterusan sehingga PRU 15; kalau ini berlaku kredibiliti Malaysia di mata dunia akan sangat terjejas. Apakah akan diwujudkan kerajaan perpaduan?
