Akademi Profesor Malaysia (APM) menyambut baik arahan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 17 Julai 2024, bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk mengadakan program di 100 buah sekolah, bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kampung dan pinggir bandar, bagi menarik minat murid terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

YAB Perdana Menteri melahirkan kebimbangan terhadap minat STEM di kalangan anak-anak muda yang semakin menurun sehingga memberi implikasi kepada kekurangan bakat dalam profesion tertentu seperti jurutera, saintis dan pelbagai lagi. Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri menyarankan agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengadakan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan supaya program untuk menarik minat anakanak muda di sekolah rendah dan menengah dalam STEM dapat ditingkatkan.

Sukacita dimaklumkan bahawa APM bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi merealisasikan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melihat minat dalam bidang STEM melebar kepada rakyat terbanyak melalui penganjuran program turun ke sekolah.

APM turut bersedia untuk memobilisasi ahli termasuk pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang-bidang tertentu untuk turun ke sekolah-sekolah rendah dan menengah bagi memberi pendedahan, bimbingan dan motivasi kepada pelajar-pelajar untuk menggarap dan menceburi bidang STEM termasuk bidang digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan bioekonomi yang belum berkembang secara meluas di kalangan anak-anak muda.

Justeru, APM komited untuk menjayakan program strategik ini yang merupakan ikhtiar baharu bagi melonjak minat murid terhadap STEM yang merupakan elemen penting dalam pembangunan negara dan bagi meningkatkan daya saing sekaligus memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan sokongan teknologi terbaharu.

Profesor Emeritus Dr. Jamal Othman,
Presiden, Akademi Profesor Malaysia
18 Julai 2024