Akademi Profesor Malaysia (APM) menyambut baik pengurniaan watikah pelantikan Profesor Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada ahli falsafah, ilmuwan ulung dan tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara pada 23 Oktober 2024.

Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang berusia 93 tahun merupakan pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan seorang tokoh pemikir Peradaban Islam Kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara. Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, sains, teknologi, sastera dan seni.

Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas selayaknya dikurniakan pengiktirafan itu yang merupakan gelaran tertinggi dalam kalangan profesor berikutan jasa serta sumbangan beliau yang tertinggi dan bernilai kepada Negara terutama dalam Pendidikan Islam.

Profesor Diraja adalah gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang Profesor oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Gelaran tertinggi itu dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.

Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran Profesor Diraja ialah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978. APM ingin merakamkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Majlis Raja-Raja, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan kepada Kerajaan Malaysia atas pengiktirafan tinggi terhadap sumbangan ilmuan kepada pembangunan generasi, masyarakat serta negara dan ternyata pelantikan ini memberi makna besar kepada seorang tokoh yang begitu berjasa kepada dunia akademik, pengembangan ilmu dan dunia pemikiran.

Profesor Emeritus Dr. Jamal Othman
Presiden, Akademi Profesor Malaysia
24 Oktober 2024