Fatimah Mohamed Arshad

Skandal besar FGV Holdings Berhad (FGV), anak syarikat FELDA menonjolkan orientasi sebenar syarikat ini; lebih kepada meningkatkan pulangan kepada modal dan bukan pulangan kepada insan, terutama pekebun kecil kelapa sawit yang menyumbang hampir separuh pengeluaran buah tandan segar (BTS) FGV.

Maka, keputusan parlimen untuk menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (PPT) antara FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) adalah bijak dan tepat sekali. Ini kerana, seperti yang dihujahkan oleh pakar ekonomi pertanian, pembangunan pekebun kecil bukan terletak di pasaran saham, tetapi kapasiti produktif mereka.

Hujah ini dibuktikan oleh FGV.

Ketika saham FGV diapungkan, FGV meraih RM4.5 bn dan FELDA (yang memiliki 34% saham FGV) menerima RM5.5 bn. Menjelang 2018, kedua-duanya dilanda kerugian besar, FGV kerugian besar RM1.08 bn dan FELDA pula berhutang sebanyak RM10.6 bn.

Eksekutif FGV menerima habuan jutaan ringgit seorang, tetapi peneroka FELDA menerima insentif bonus dan duit raya hanya pada purata RM2,700 setahun antara 2007 dan 2017.

Apabila saham FGV merudum, pemegang saham Koperasi Permodalan FELDA (KPF) tidak mampu membayar hutang RM50 sebulan; berbeza dengan kemewahan yang dinikmati oleh beberapa pegawai FGV. Hutang peneroka dilupuskan oleh FELDA sebanyak RM1,820 ke atas 2,715 peneroka.

Terdapat empat pemegang saham yang menguasai 54% saham FGV tetapi KPF yang memiliki 200,000 orang ahli hanya memegang 4.75% saham FGV. Pemusatan kuasa ke atas beberapa pemegang saham besar membuka ruang manipulasi besar. Berbeza dengan pelabur besar yang lain, anggota KPF tidak menerima keuntungan sebaliknya berhutang dengan FGV.

Data di atas lantang merumuskan bahawa meragakan dana milik pekebun kelapa sawit peneroka di bursa membawa padah dan gagal membantu kesejahteraan hidup mereka. Malahan tidak pernah dilaksanakan di negara lain di mana dana pekebun kecil diragakan di bursa. Kalau adapun, mungkin koperasi besar yang telah berjaya dalam pasaran antarabangsa.

FELDA dan KPF termangsa kerana faktor berikut. Pertama, falsafah perniagaan FGV yang mementingkan kepada pulangan ke atas modal atau terutama pemegang saham besar dan bukan peneroka KPF dan FELDA.

Kedua, isu di atas menuding ketidakserasian antara entiti dan misi FGV. Falsafah perniagaan tidak selari dengan entiti FGV sebagai syarikat-berkaitan-kerajaan atau GLC yang dibiayai oleh kerajaan, awam dan peneroka. Pemegang saham utama FGV adalah kerajaan (Kementerian Kewangan), orang awam (Kumpulan Wang Persaraan), peneroka (KPF) dan FELDA yang memajak tanah (milik awam) kepada FGV. Sepatutnya perniagaan FGV lebih memberatkan “perusahaan sosial” dan bukan spekulasi dalam pasaran saham. Pasaran saham adalah untuk pelabur modal dan spekulator.

Ketidakserasian ini telah menarik FELDA dan KPF ke kancah atau medan spekulasi yang di luar bidang mereka, lantas terkandas.

Ketiga, struktur tadbir urus/governans yang sangat lemah sehinggakan ia dimanipulasikan untuk kepentingan peribadi individu sehingga mengikis kewangan kedua-dua entiti tersebut, memangsakan peneroka akhirnya.

Keempat, penglibatan KPF ke dalam pasaran saham menunjukkan ketidakfahaman yang tepat mengenai konsep koperasi. Matlamat utama koperasi adalah untuk kesejahteraan dan kepentingan setiap anggota. Sebaliknya korporat atau firma pelabur bertujuan untuk kepentingan pemegang saham. Apabila KPF melangkah ke bursa, ia berlagak sebagai korporat swasta meragakan dana peneroka kecil dalam pasaran saham dimana turun naik harga adalah lumrah yang diperlukan untuk kegiatan spekulasi. Pelaburan dalam pasaran saham bukan usaha pembangunan untuk peneroka. Nilai bilion saham PKF yang dilaburkan dalam FGV jika dibelanjakan ke atas peneroka, pasti menjanakan faedah besar.

Berdasarkan kepada hujah di atas, apa pembaharuan yang diperlukan?

Jawapannya mudah; kembali ke pangkal jalan iaitu matlamat penubuhan FELDA.

Kedua-dua entiti wujud kerana pekebun kecil. Maka beralih kepada kepentingan peneroka adalah jalan yang betul. Ia akan membawa pelbagai kesan pengganda atau multiplier yang sangat besar kepada peneroka, industri kelapa sawit, kesetaraan dan kesejahteraan sektor ini.

Ahli ekonomi dari International Food Policy Research Institute (IFPRI) membuktikan bahawa pelaburan ke atas pekebun kecil memberi pulangan yang sangat tinggi. Ia mengurangkan kemiskinan dan ketidaksetaraan, menjanakan peluang pekerjaan, masyarakat desa yang dinamik dan pendidikan generasi akan datang yang lebih baik.

Selepas lebih daripada 5 dekad, peneroka bergelumang dengan pelbagai masalah seperti pulangan yang rendah berbanding pemain pasaran lain, pendapatan yang tidak stabil, hasil rendah, kekurangan buruh, generasi ketiga yang enggan meneruskan perusahaan dan pelbagai masalah sosial yang lain.

Berikut adalah cadangan memperkasakan peneroka.

Sebagai pengeluar di hujung rantaian bekalan, adalah perlu supaya kuasa rundingan peneroka diperkukuhkan melalui koperasi yang lebih efektif. Kita boleh mencontohi model koperasi di Amerika. Mengikut USDA (Jabatan Pertanian Amerika Syarikat), tiga ujian asid koperasi adalah berasaskan pemakaian tiga prinsip utama. Prinsip ini adalah “pengguna-pemilik”, “pengguna-mengawal” dan “pengguna-menerima faedah”. Dalam kata lain, koperasi adalah koperasi jika semua ahli terlibat dengan kegiatan perniagaan koperasi atau menggunakan khidmat koperasi. Jika anggota koperasi hanya melabur dengan membeli saham dan menunggu dividen sahaja, itu bukan koperasi.

Koperasi peneroka diberdayakan dengan meletakkan tanggungjawab pengemudian koperasi ke tangan peneroka sepenuhnya dan bukan pegawai FELDA atau wakil politik. Untuk itu peneroka memerlukan bimbingan dan khidmat nasihat yang intensif.

Koperasi FELDA dicadangkan untuk berintegrasi ke hadapan dengan menceburi kegiatan nilai tambah seperti kilang minyak kelapa sawit dan pemprosesan di mana keuntungannya adalah lebih tinggi. Untuk tujuan itu, kilang bersaiz kecil dan sederhana dicadangkan untuk ditubuhkan bagi membolehkan peneroka menceburi kegiatan hiliran.

Agihan baja dan input perlu dinyahpusatkan dan tidak dipusatkan kepada agensi tertentu. Ini kerana pemusatan agihan input menyebabkan pasaran input tidak bersaing, pembangunan sektor input tempatan yang lembab dan menyekat koperasi atau individu untuk menceburi bidang ini. Dalam suasana yang bersaing, koperasi berpeluang untuk berintergasi ke belakang dalam kegiatan perniagaantani.

FELDA perlu menubuhkan kolej teknikal di semua cawangan FELDA untuk melatih peneroka dan generasi baharu mengenai teknologi moden atau digitalisasi dan aplikasinya dalam meningkatkan hasil, rantaian bekalan, kecekapan rantaian bekalan, pemprosesan, pasaran eksport dan sebagainya. Kolej teknikal ini akan meningkatkan kemahiran, ilmu dan kapasiti peneroka dan generasi muda.

Untuk menggalakkan kepelbagaian, bayaran tunai secara terus di tahap awal dicadangkan untuk diberikan kepada pengeluar untuk menanam tanaman campuran untuk mempelbagaikan pendapatan.

Sokongan institusi yang perlu adalah pengembangan, latihan, infrastruktur dan R&D dalam menghasilkan mesin dan kilang bersaiz kecil untuk peneroka. FELDA perlu juga melabur dalam R&D aspek pembangunan koperasi dan juga isu sosio-ekonomi seperti kesejahteraan ekonomi dan sosial peneroka, kepelbagaian di ladang, persijilan, ICT dan IOT (termasuk block chain technology) untuk ladang kecil, mekanisasi dan automasi untuk ladang kecil kerana MPOB (Lembaga Kelapa Sawit Malaysia) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi lebih memberatkan sektor estet.

Usaha pembangunan lain masih banyak yang menanti seperti perladangan yang lebih “hijau” dan lestari, pembangunan bahan-bahan kelapa sawit untuk menjanakan baja atau tanaman fid dan yang berkaitan.

FGV sepatutnya melakukan perkara yanag sama iaitu mengangkat koperasi peneroka ke tahap rantaian yang bernilai tinggi di dalam dan luar negeri dan bukan bertarung dalam pasaran saham dan melabur dalam hartanah.

Antara usaha yang perlu dilakukan termasuklah melibatkan koperasi peneroka dalam kegiatan pemprosesan bernilai tinggi, menjelajahi pasaran eksport dan import, kegiatan hedging atau melindung nilai dan perniagaan.
Dalam kata ringkas, fokus FELDA dan FGV adalah pembangunan peneroka supaya pendapatan dan kesejahteraan mereka terjamin dan lestari.

Skandal FGV membuktikan perumpamaan bahawa kambing belaan sangat takut kepada serigala, tetapi akhirnya dia dimakan tuannya sendiri.

Semoga pembelotan ini tidak berlaku kepada peneroka sekali lagi.