Akademi Profesor Malaysia (APM) merafak sembah menjunjung kasih atas kebijaksanaan keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak mengisytiharkan Darurat di negara ini. Kami percaya kegelisahan yang timbul sebelum ini terhadap keputusan yang bakal dibuat oleh Seri Paduka Baginda telah bertukar menjadi kelegaan bagi rakyat jelata.

Sesungguhnya, Pandemik Covid-19 telah membawa kita ke situasi kesihatan awam dan ekonomi yang mencabar dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Namun, pada masa yang sama, kebuntuan politik di negara ini terus menyumbang kepada keadaan yang sukar ini.

Kami percaya dalam menangani kedua-dua isu Pandemik dan kebuntuan politik, kepentingan negara yang lebih besar harus diberi keutamaan. Intipati bagi setiap “pendekatan yang akan diambil” haruslah mengenal pasti situasi menang-menang untuk semua pihak berkepentingan – masyarakat umum, ekonomi, demokrasi, institusi, dan keharmonian politik – sehingga COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan. Keutamaannya adalah kesejahteraan rakyat. Beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serangkaian pakej rangsangan ekonomi yang diterapkan sejak Mac tahun ini sebenarnya sudah menjadi langkah “darurat” negara kita untuk mencapai keseimbangan antara kehidupan dan kesejahteraan kesihatan rakyat.

KDNK suku ke-2 tahun ini telah menjunam seperti yang tidak pernah terjadi sebelumnya iaitu sebanyak -17% dari tahun sebelum ini. Simulasi kami menunjukkan bahawa untuk setiap 2 minggu pelaksanaan PKP sepenuhnya, dan ketiadaan perlindungan keselamatan sosial dan rangsangan ekonomi yang mencukupi, KDNK kita akan mengalami penurunan -1.5 peratus berbanding dengan garis dasar. Justeru, perisytiharan Darurat berkemungkinan besar akan mengakibatkan kesan ekonomi dan sosial yang jauh lebih parah.

Demokrasi yang berkembang subur memerlukan parlimen yang berfungsi dan kestabilan politik yang membantu mengekalkan keyakinan perniagaan dan pelabur. Parlimen harus bersidang seperti yang dijadualkan dan Belanjawan perlu dibentangkan. Kami yakin terdapat cara bagi rundingan rentas parti untuk mencapai konsensus yang baik mengenai Belanjawan 2021. Tambahan pula, rakyat menaruh harapan yang tinggi bahawa Belanjawan tahun ini dan Belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan luar biasa istimewa kerana kita berada dalam tempoh masa yang luar biasa. Rakyat sememangnya mengharapkan ahli-ahli politik negara kita untuk menunjukkan kebijaksanaan dan sifat kenegarawanan untuk membawa negara kita ke hadapan pada saat genting krisis berganda ini tanpa menimbulkan ketidakharmonian atau kebuntuan politik. Kami berpendapat tidak ada masa yang lebih baik berbanding masa sekarang di mana ahli politik negara kita dapat memberikan sumbangan lebih bermakna dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi politik kepartian. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sememangnya telah membuat keputusan yang tepat dan bersejarah. Daulat Tuanku!

Prof. Dato’ Sri Dr. Daeng Nasir Daeng Ibrahim,
Presiden