Prof Dr Fatimah Mohamed Arshad
Universiti Putra Malaysia

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka lembaran baharu untuk rantaian dan jaminan bekalan makanan negara.

Rantaian bekalan bererti rantaian proses yang saling melengkapi antara satu sama lain untuk mengagihkan produk dan perkhidmatan daripada sektor input hingga ke meja makan pengguna.

Ia ibarat rantai. Jika salah satu proses terjejas, rantaian bekalan akan putus seperti yang berlaku pada tahap awal pelaksanaan PKP .

PKP mengganggu secara langsung rantaian bekalan sedia ada. Ini berlaku apabila PKP menutup beberapa pemain utama rantaian bekalan seperti restoran, pasar malam, pasar borong serta kedai kecil yang tiada premis tetap.

Waktu perniagaan juga dihadkan, dengan sekatan perjalanan antara negeri dan perintah duduk di rumah dikuatkuasakan bermula 18 Mac dan kini dilanjutkan sehingga 12 Mei.

Memang PKP diperlukan untuk membendung jangkitan virus COVID-19 secara meluas, tetapi kita harus mencari jalan supaya impak gangguan rantaian bekalan tidak separah yang kita alami.

Antara arahan yang menjejaskan rantaian bekalan dengan serius adalah penutupan pasar borong. Ini kerana pasar borong hab utama di mana berlakunya pertukaran komoditi makanan antara pembekal (pengeluar) dan pembeli (pemborong kecil, peruncit dan pengguna institusi dan awam).

Pemborong adalah orang tengah yang memungkinkan pertukaran ini. Pemborong juga menentukan paras harga harian sebagai rujukan kepada peruncit dan pengeluar. Penutupan pasaran borong mengganggu kelicinan proses perniagaan antara pengeluar dan peniaga serta pengguna.

Langkah di atas menyebabkan pengguna mula bimbang, lantas tergesa-gesa membeli makanan harian dengan banyak. Ini mewujudkan ‘kekurangan’ pada peringkat runcit kerana pembekal tidak dapat meningkatkan bekalan berikutan pasar borong sudah ditutup dan perjalanan disekat. Harga sayur-sayuran meningkat tinggi 30 hingga 50 peratus.

Namun kenaikan harga tidak sampai kepada pengeluar kerana sekatan pengangkutan dan penjualan di pasar borong. Pengeluaran mereka berlebihan, lalu dibuang begitu sahaja lantas mengalami kerugian.

Kerajaan membuat kelonggaran dengan membuka semula pasar borong empat hari seminggu dengan jam operasi terhad. Peristiwa ini mendedahkan beberapa gejala yang akan menentukan hala tuju sektor makanan negara.

Pertama, nyata bahawa negara tidak bersedia berdepan kejutan pandemik COVID-19. Ini terjangka kerana gejala ini sememangnya tidak diduga.

Beberapa pakar berpendapat masa depan sektor makanan akan menjadi lebih pincang, berdepan kejutan demi kejutan dan ketidakstabilan. Ia berpunca perubahan ekologi dan sumber asli yang pupus (kualiti tanah dan air menurun) antaranya.

Risiko ketidakpastian dan ketidakstabilan adalah pembolehubah utama dalam persamaan pengeluaran makanan.

Kedua, mangsa daripada gejala COVID-19 bukan setakat pembekal, pemborong dan peruncit, tetapi meliputi peserta lain seperti pembekal input, buruh di kebun atau di pasar borong dan runcit, pemandu lori, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti pengusaha restoran, makanan dan juga pengguna miskin.

Ketiga, PKP mendedahkan bahawa daripada pengeluaran sampai ke meja makan, sistem makanan kita bergantung kepada buruh asing. Dengan PKP, pengeluar kehilangan pekerja sama ada mereka pulang ke negeri asal atau disebabkan tidak mampu membayar gaji mereka.

Juga, tiada pemandu atau pekerja yang boleh menghantar bekalan kerana kebanyakan mereka tidak memiliki permit kerja. Jadi sekatan jalan raya akan membuka rahsia mereka. Kebanyakan pasar borong kita dipenuhi pekerja asing seperti etnik Rohingya di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.

Jika ketika krisis, peniaga hilang tenaga buruh, ia akan menjadi serius pasca PKP kerana larangan kemasukan buruh asing. Dalam jangka masa pendek dan sederhana, kekurangan buruh akan menjejaskan pengeluaran makanan negara.

Keempat, jelas makanan diperlukan dalam semua keadaan, ketika aman mahupun krisis. Satu kajian dilaksanakan https://covid.brandiq.asia/ (https://covid.brandiq.asia/) mendedahkan 100 produk tertinggi nilai jualannya adalah makanan, manakala yang kurang laku adalah produk mewah seperti kasut, kamera, beg tangan dan sebagainya.

China dan Korea menunjukkan bagaimana krisis ini boleh ditangani, iaitu dengan menggemblengkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memantau populasinya baik untuk COVID-19 atau tujuan harian.

Konsep sama boleh diguna pakai untuk sistem rantaian bekalan. Langkah ideal adalah penggunaan sistem blockchain. Namun komuniti ini masih belum bersedia, lantas penggunaan data raya adalah strategi terbaik.

Apa yang diperlukan data lengkap mengenai: (i) profil semua peniaga daripada pembekal input kepada pengeluar, peruncit dan semua buruh yang terbabit dalam proses berkenaan; (ii) status kesihatan mereka; (iii) kuantiti bekalan; (iv) agihan bekalan ikut kuantiti dan lokasi; serta v) jangka waktu kegiatan.

Melalui kecerdasan buatan (AI), pergerakan mereka boleh dikesan dan dipantau untuk memastikan bekalan dan penggunaan tidak terputus.

Kebergantungan kepada buruh asing perlu ditangani segera. Mungkin tidak dapat dihapuskan sama sekali, tetapi boleh diminimumkan. Seperti terbukti di negara yang keluasan dan saiz penduduknya kecil seperti Holland dan Israel, teknologi maju adalah pemacu asasnya.

Malah, negara memiliki tanah dan populasi besar seperti China, menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti makanan sehingga mampu mengeluarkan 500 juta rakyatnya daripada perangkap kemiskinan dalam masa 15 tahun.

Terdapat pelbagai pakej ‘penyelesaian teknologi’ di pasaran boleh diubah suai untuk kegunaan tempatan. Penggunaan teknologi termaju meningkatkan produktiviti dan nilai tambah di samping mengurangkan penggunaan buruh.

Ini terbukti apabila ada beberapa pembekal menggunakan sistem dalam talian untuk menjual sayur dan makanan terus kepada pengguna.

Pendedahan paling membuka mata adalah warna sebenar status jaminan bekalan negara. Hakikatnya Malaysia masih belum mencapai jaminan makanan sepenuhnya. Krisis COVID-19 membongkar hakikat berikut:

Walaupun kadar sara diri (SSL) makanan boleh dikatakan tinggi tetapi ‘kertersediaan’ makanan tidak sampai kepada semua.

Pekerja harian yang tiada gaji, buruh upahan dan pekerja kontrak yang diberhentikan mendapati sukar untuk mendapat makanan kerana sumber utama mereka seperti pasar malam, pasar kecil ditutup. Pendapatan rendah mempengaruhi daya mampu beli lantas kualiti nutrisi makanan.

Krisis ini menunjukkan definisi jaminan bekalan makanan sebenar. Ia bukan setakat mencapai petunjuk SSL, tetapi perlu dilengkapi rantaian bekalan cekap dan licin, serta pendapatan yang mencukupi untuk mampu beli makanan yang berkhasiat.

Semua ini memerlukan pertumbuhan ekonomi yang paling penting demi agihan pendapatan yang setara.